...............................................

...............................................

Rabu, 18 Mei 2016

Lindungi Penyu-Penyu Kitanie

Program ini ditubuhkan pada 1998 dan dilancarkan pada 11 April 2000 dengan objektif mengurus ke arah pemuliharaan biodiversiti marin serta mengurus ke arah meningkatkan bilangan penyu secara menyeluruh.
Program yang dilaksanakan ialah program rondaan ke pantai-pantai pendaratan penyu, program penetasan telur-telur penyu dan pembesaran anak-anak penyu, program kesedaran awam, program pelepasan penyu, program penandaan penyu dan program sukarelawan penyu.

Sebanyak tiga spesis penyu laut yang terdapat di perairan Negara Brunei Darussalam iaitu Penyu Kangkam (Green Turtle), Penyu Lipas (Olive Ridley Turtle) dan Penyu Sisik (Hawksbill Turtle).


 
Penyu Kangkam (Green Turtle) atau nama saintifiknya Chelonia Mydas adalah bersaiz lebih kurang 1.2 meter dan boleh mencapai berat 270 kilogram (kg). Ia berwarna coklat tua atau kehitam- hitaman dan memakan rumpai laut. 



 
Penyu Lipas (Olive Ridley Turtle) atau nama saintifik Lepidochelys Olivacea pula bersaiz lebih kurang 65-75 sentimeter panjang dan mempunyai berat badan mencapai 50 kg. Ia berwarna gelap atau hijau tua buah zaitun. Ia memakan ketam, udang, ikan kecil-kecilan dan kerang-kerangan kecil. 


Manakala Penyu Sisik (Hawksbill Turtle) atau nama saintifiknya Eretmochelys Imbricata pula bersaiz tidak lebih 1 meter panjang dan mencapai berat badan 75 kg.
Penyu yang berwarna coklat tua atau kuning dan coklat. Ia memakan terumbu kerang lembut dan span banyak terdapat di takat kerang.

Pihak kerajaan juga telah membuat usaha bagi menubuhkan sebuah pusat pengurusan dan pemuliharaan penyu yang kekal di Pantai Meragang. 

Bangunan ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik taklimat, makmal, kolam kehidupan marin, bilik pentadbiran, bilik penyimpanan takat, tangki penetasan dan pembesaran penyu.

Pusat ini juga berfungsi untuk mempromosikan kesedaran awam tentang program pemuliharaan dan pengurusan kepelbagaian marin, membaik pulih, penyediaan khidmat rawatan marin dan kaji selidik serta program pembelajaran.

Selain itu, pusat ini juga menawarkan program penempatan bagi penuntut sekolah dan penyelidik, kursus ekopenyelam bagi belia-belia, memulihara dan pelepasan penyu, program jangkauan dan sukarelawan marin.

Pusat ini juga sering menerima lawatan sambil belajar dari murid-murid sekolah di negara ini yang antara lain bertujuan untuk mendedahkan murid-murid tentang kehidupan penyu dan kepentingan menjaganya agar ianya tidak pupus.

Dengan adanya bangunan kekal ini, setentunya ia dapat menjadi pusat hidupan marin yang berperanan sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan hidupan marin yang terdapat di perairan negara ini serta menempatkan tempat rujukan para penyelidik dari dalam dan luar negara. Selain itu ia juga diharap dapat menjadi showcase hidupan marin bagi menarik para pelancong ke negara ini.

Sejak tahun 2,000, lebih 5,000 ekor anak-anak penyu telah dilepaskan ke alam habitatnya yang diperolehi melalui program penetasan yang dijalankan. Selain itu untuk memastikan jejak penyu agar masih berada di kawasan perairan di negara ini, satu projek penjejakan satelit turut dipasangkan kepada penyu-penyu yang telah dilepaskan.

PROGRAM KESEDARAN

Penyu Lipas yang mana spesies ini pada dahulunya banyak bertelur di kawasan Pantai Muara, tetapi pada sekarang ini spesies Penyu Lipas semakin berkurangan dan kian pupus.

KENAPA PENYU PERLU DIPELIHARA?

Penyu sememangnya memainkan peranan penting dalam memulihara keseimbangan ekologi secara langsung di laut. Antara peranan penyu terhadap ekosistem ialah bertindak sebagai spesies penunjuk dalam ekosistem dengan ia menunjukkan sebarang tanda perubahan disebabkan perubahan persekitaran. Jika satu daripadanya dipisahkan maka ia turut memusnahkan hidupan laut yang lain.
Sememangnya tidak dinafikan masa depan bagi banyak spesies di lautan berkaitan erat dengan kelangsungan hidup penyu. Ini kerana penyu merupakan haiwan pemangsa kepada beberapa haiwan yang boleh mengancam kemusnahan ekosistem laut. Misalnya penyu merupakan haiwan pemangsa kepada Tapak Sulaiman dan obor-obor. Sekiranya penyu lenyap maka ia akan menyebabkan berlakunya kemusnahan yang serius terhadap ekosistem laut, kerana sudah tidak ada lagi haiwan yang memakan tapak sulaiman dan obor-obor.

Oleh itu jika penyu pupus di sesuatu zon, sumber makanan di kawasan itu sudah pasti terganggu. Ini bermakna populasi ikan yang menjadi sumber protein kepada manusia turut pupus.
Sebagai negara Nadi Borneo, apa yang kita harapkan usaha melindungi penyu ini akan terus membuahkan hasil demi kepentingan penduduk dan rakyat di negara ini. Marilah kita sama-sama berganding bahu bersama-sama dengan pihak kerajaan untuk melindungi haiwan ini untuk kepentingan kita bersama. 'Sayangi Penyu Kitani Untuk Generasi Yang Akan Datang'.

Bahan artikel dari Pelita Brunei Monday, 28 January 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.